Nuffnang Ads

Saturday 14 January 2012

METRO 14 JANUARY:TINGGAL NUGET UNTUK ADIK


Tinggal nuget untuk adik


TUTUP...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan di tempat kejadian.


KLANG: Seorang wanita sempat menyiapkan bekalan nuget untuk adik bongsunya beberapa jam sebelum dia maut apabila kepalanya digilis lori membawa gas dalam kemalangan di Jalan Kampung Delek, di sini, pagi semalam.
Dalam kemalangan jam 8 pagi itu, Faziatul Zainiza Mohd Fauzi, 26, yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan dan bergesel kenderaan lain menyebabkan mangsa terjatuh ke jalan raya sebelum digilis sebuah lori yang membawa gas.

Bapa arwah, Mohd Fauzi Abdul Kadir, 54, berkata, anak keempatnya itu bersikap pelik kerana memasak nuget untuk adik bongsunya sebelum ke tempat kerja dan tidak menduga itu petanda arwah pergi untuk selamanya.
“Isteri saya hairan melihat arwah bangun lebih awal dan bersungguh-sungguh menggoreng nuget. Apabila ditanya, arwah mengatakan nuget itu mahu dibekalkan kepada adik bongsunya ke tempat kerja.

“Lebih memilukan, adik bongsu arwah tidak sempat menjamah nuget digoreng arwah kerana arwah pergi dulu meninggalkan kami, tapi kami reda dengan ketentuan llahi,” katanya.

Menurutnya, sebelum meninggal dunia, arwah mendaftarkan anak sulungnya yang hilang upaya ke sebuah pusat pendidikan swasta yang terletak berhampiran rumah kerana ingin melihat anaknya itu mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain.

Pada kebiasaannya, ibu tunggal dua anak berusia lima tahun dan enam bulan itu akan menunggang motosikal ke rumah rakan sekerja di Kampung Sungai Sireh sebelum menaiki kereta rakannya itu untuk ke tempat kerja.

Namun, pada hari kejadian, arwah menukar fikiran dengan tidak mahu menumpang kereta rakannya, sebaliknya ingin ke tempat kerja dengan menunggang motosikal. Jenazah arwah selamat dikebumikan di Jerantut, Pahang yang juga kampung halaman datuk dan neneknya, lewat petang semalam.
Sementara itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, kejadian berlaku jam 8 pagi di Jalan Kunci Air, Jalan Kampung Delek menghala Kampung Sungai Sireh.

“Siasatan awal polis mendapati, motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan bergesel sebuah kenderaan lain menyebabkan mangsa terjatuh ke jalan raya.

“Mangsa digilis sebuah lori membawa gas yang gagal mengelak sebelum melanggarnya menyebabkan mangsa parah di kepala dan maut di tempat kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987,” katanya.



**TAKZIAH UNTUK KELUARGA ARWAH**

No comments: